MAKRIFAH REZEKI 081118
Ketika saya mengalami krisis kewangan, kesedaran halus di jiwa saya membimbing untuk tidak fokus kepada kekurangan dan hutang piutang. Saya harus fokus memikirkan kelimpahan, kemakmuran, kekayaan agar krisis ini berubah.
Namun di kala jiwa kita sedang ditenggelami oleh banjir masalah, telefon dan mesej bertubi-tubi dari orang dan pihak-pihak yang menuntut hak mereka, percayalah bahawa keadaan ini umpama berusaha kekal terapung di tengah laut yang sedang dilanda gelora.
Hal pertama yang saya perlu lakukan adalah keluar dari kondisi fikiran dan perasaan yang menyesakkan. Itulah langkah nombor satu untuk keluar dari mana-mana krisis.
Cari ketenangan jiwa lebih dulu. Bantuan dan sumber fizikal tidak akan datang jika jiwa di dalam sedang berkecamuk. Kalau pun ada, yang datang itu biasanya palsu, berpotensi besar bakal lebih menggandakan masalah yang sedia ada.
Saya tidak berdoa memohon rezeki dari Allah. Saya tidak memohon dikeluarkan dari masalah. Kerana apabila saya berdoa begitu, saya tidak dapat ketenangan.
Malah saya jadi berharap sangat dapat pertolongan dariNya. Kalau tidak dapat juga, saya akan kecewa berat dan akan malah menyalahkan Tuhan.
Jadi saya fokus mencari ketenangan. Saya berusaha mendekatiNya di saat sunyi mahupun ramai. Terus menerus begitu.
Ada masa ketika zikir padaNya dapat ketenangan, adakalanya tidak. Malah makin kalut.
Kenapa ya? Saya tertanya-tanya. Lalu ada bimbingan halus dari dari dasar hati. " Kau sungguh hipokrit kawan! Kau mendekat kepadaNya kerana ingin ketenangan!".
Woww... Benar sekali! Saya hipokrit. Saya tidak ikhlas. Saya berusaha mendekatiNya bukan keranaNya. Namun kerana ingin tenang. Jauh nun di sudut hati kerana berharap krisis ekonomi ini selesai dan berganti dengan kemakmuran dan kelimpahan.
Sungguh saya zalim. Sungguh saya amat syirik!
Berusaha keluar dari masalah, harus mendekatiNya. Namun mendekatiNya wajib ikhlas keranaNya. Harus telanjang habis dari segala topeng-topeng harapan selainNya.
Kamudian saya upgrade diri. Ubah niat. Mendekat kepadaNya dengan niat tulus ingin mencintai dan merinduiNya. Sebaik mungkin saya menjaga ketulusan itu. Terus menerus tanpa jemu.
Tidak perlu waktu lama. Ada perasaan yang sangat halus mula bergetar dari tengah dada. Begitu sejuk, mendamaikan dan menggetarkan seluruh badan. Membuat air mata jatuh mengalir tanpa henti. Sungguh aneh, dan sungguh asyik.
Semua fikiran berkenaan masalah, semua perasaan sesak oleh masalah, lenyap habis. Wowww... Hanya ada tenang dan damai.
Satu keyakinan yang tidak dibuat-buat pun hadir di perasaan saya, bahawa semua kekurangan dan semua masalah ini akan selesai dengan mudah, segera dan harmoni.
Keyakinan sebegini tidak dapat dibuat-buat. Apatah lagi perasaan indah, tenang dan damai tersebut, ia tidak dapat dibuat-buat dan ditiru oleh fiikiran cerdik macam mana pun.
Saya jadi meyakini bahawa hati itu berlapis-lapis. Makin digali ke dalam makin berubah perasaan yang kita alami. Wilayah hati yang dalam hanya dapat disentuh dengan mengingati Dia Yang Maha Mutlak.
Setiap perasaan itu sungguh kuat getaran energinya, resonan dengan aspek-aspek hidup kita di luar. Di wilayah hati yang dalam itulah tersimpan 'timbunan harta karun termahal' berbentuk kumpulan perasaan yang memliki muatan energi sungguh dahsyat.
Semua orang memilikinya. Namun tidak semua orang boleh mengaksesnya.
Dari situlah munculnya kekuatan-kekuatan baru buat saya. Serta sumber-sumber keperluan duniawi sangat luas yang termanifestasi dari alam rohani. Sumber tanpa batas yang sentiasa tersedia menjelma dalam bentuk ilmu, kreativiti, inspirasi, dan bentuk-bentuk fizikal.
Begitu banyak ilmu disajikan di era informasi tanpa batas ini. Semuanya adalah ilmu hasil kreativiti fikiran. Ertinya ilmu-ilmu rekaan kepintaran fikiran manusia.
Namun ada lagi satu ilmu tanpa batas, dan kekuatan tanpa had yang tersembunyi, yang hanya boleh digali di dasar hati, dengan terus menerus mengingati dan mencintaNya dengan ikhlas.
Semoga anda juga boleh mengakses 'harta karun' tersebut yang tersimpan kemas dan kukuh di hati rohani anda, dan memiliki sumber hidup tanpa batas.
Free to share.
#MAKRIFAHREZEKI
... Love no Limit ...